
posting asal: ajamihashim
FILEM indie, Punggok Rindukan Bulan dihasilkan oleh Azharr Rudin, 27, setelah menghasilkan beberapa filem pendek. Pengarah kelahiran Johor Bahru ini menempatkan filem panjang sulungnya di Rumah Pangsa Bukit Chagar, Johor Bahru itu sebelum dirobohkan awal tahun ini.
Biarpun dihasilkan dengan biaya rendah sekitar RM100,000, filem digital ini telah pun diundang ke Festival Filem Antarabangsa Pusan (Korea Selatan) dan Festival Filem Antarabangsa Vancouver (Kanada) bulan depan.
Cerita dimulakan dengan babak tipikal pergaduhan kecil dalam sebuah keluarga. Keluarga nukleus ini cuma ada tiga orang iaitu Adman (Sahronizam Noor), isterinya Roza (Maya Karin) serta anaknya Sidi (Saeful Nazhif Satria).
Mulanya, khalayak dibawa mengintai menerusi sudut pandangan Sidi yang mendengar jerit-pekik ibu kepada ayahnya tentang suatu ketidakpuasan.
Akhirnya, si ibu menghempas pinggan ke lantai serta sepak-terajang kerusi. Adakah sang isteri yang marah kerana desakan naluri femininnya? Mungkin juga tugas maskulin si suami yang tidak cukup memberikan apa yang sepatutnya?
Atau adakah si anak yang menjadi punca di tengah hingga jadi pertengkaran ibu dan ayahnya? Dalam satu tangkapan kamera sahaja filem ini sudah mampu memberikan umpanan supaya penonton terus mahu menerobos apa sebenarnya masalah dalam keluarga ini.
Tanpa diduga, pada suatu hari Roza meninggalkan keluarganya. Azharr nakal bercerita tentang pemergian Roza itu dengan satu babak dari tingkat atas Sidi dan ibunya menuruni tangga rumah pangsa dan apabila di tingkat bawah hanya Sidi seorang saja yang muncul. Seterusnya khalayak berkongsi mata dan telinga Sidi di sepanjang filem ini.
Bukit Chagar dan sekitarannya menjadi pentas cerita penuh Punggok Rindukan Bulan. Bermulalah sebuah kebebasan tanpa batasan untuk Sidi dan ayahnya di rumah itu. Kita turut merasakan suka-duka mereka. Awalnya mereka hanya akur dengan erti sebuah kehilangan tapi lama-kelamaan ia bertukar menjadi pencarian tanpa arah tujuan. Ruang sempit rumah pangsa itu terasa semakin luas.
Sidi mula ponteng sekolah dan menjadikan ruang legar di sekitar rumah pangsa itu sebagai taman permainan. Malah sifat kebiadapan Sidi terzahir satu-persatu sehingga tergamak meludah orang yang dibencinya. Boleh dikatakan semua perlakuan liar remaja yang ditegah oleh ibu bapa hendak dicubanya.
Namun sejujurnya khalayak dapat merasakan gelodak jiwa Adman dan Sidi jadi begitu kerana desakan bosan, kesunyian dan rasa rindu mendalam mereka kepada Roza.
Sidi menangis di balkoni tempat penyidai kain rumah mereka untuk mengakuri rasa rindunya yang teramat kepada Roza. Dia tahu di situlah ibunya kerap memerhati dan pasti melambai setiap kali dia pergi sekolah dan pulang ke rumah. Sidi juga memanjat dan bersiar-siar di bumbung rumah pangsa itu lalu merenung jauh sekitarnya yang masih luas untuk diterokai seolah mengiyakan bahawa ibunya mungkin boleh berada di mana-mana jua.
Filem ini berlatarkan kehidupan uzur dan daif di saat-saat akhir Bukit Chagar sebelum ia dirobohkan. Sempat juga snapshot kenakalan dan maksiat biasa untuk penghuni rumah pangsa di anak tangga yang tersorok disindir secara sinis. Pencerobohan bangunan-bangunan itu ialah penamatnya sebuah kemajuan yang pernah menjadi kebanggaan suatu masa dahulu.
Simboliknya imej-imej gerombolan jentolak yang meranapkan rumah pangsa itu dari atas bumbung pada akhir filem ini seakan raksasa kemajuan baru yang memakan binaan empayar tua yang usang. Sedutan berita di kaca televisyen mengenai jambatan bengkok yang dibatalkan pula seolah menjadi iringan selari cerita keruntuhan rumah tangga Adman dan Roza yang tidak panas sampai ke petang.
Dalam filem ini, setiap frame gambar bergerak dan bunyinya ada sesuatu yang tersirat untuk ditafsirkan. Barangkali ia cerita biasa sebuah konflik keluarga dan rumah tangga? Tidak mustahil juga Azharr Rudin mahu menyuarakan suatu teguran yang berkias dan berlapik.

